Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara agenda bakal dibincangkan dalam mesyuarat yang julung kali diadakan itu merangkumi ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS) dan persediaan ASEAN menghadapinya.

“Selain itu, isu-isu keselamatan siber dan maritim, serta inisiatif-inisiatif ke arah memperkukuh kerjasama erat antara negara anggota turut dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

LIMA 2015 akan berlangsung pada 17 hingga 21 Mac ini manakala ADMM akan diadakan pada 15 hingga 16 Mac ini.

Dalam pada itu, jelas Hishammuddin, selaras dengan pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, elemen-elemen ASEAN turut di­terapkan dalam LIMA 2015 seperti Forum Perniagaan ASEAN, Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN, Himpunan Belia ASEAN serta Karnival Kebudayaan ASEAN.

Melalui inisiatif kebersamaan dalam ASEAN itu, beliau berharap, LIMA 2015 bukan sahaja dapat memperkukuhkan hubungan erat dalam kalangan negara anggota tetapi turut merancakkan pasaran bagi industri maritim dan aeroangkasa pertahanan dan komersial.

Hasrat itu, menurutnya, pen­ting kerana rantau tersebut merupakan pasaran ekonomi kelima terbesar dunia yang merekodkan permintaan tinggi terhadap kelengkapan pertahanan serta pesawat komersial baharu dan pasaran pertahanan menjelang 2016.

Tambahnya, sebagai satu agenda strategik negara dalam menambah daya tarikan pelancong, LIMA 2015 merupakan penzahiran hasil dan teknologi terkini dalam bidang ma­ritim dan aeroangkasa.

“Kerajaan mengiktiraf pameran ini sebagai acara nasional dan meletakkan pameran ini sebaris dengan pameran industri pertahanan dan maritim utama dunia yang lain,” katanya.