Katanya, hujan lebat petang semalam merupakan kejadian kali kedua berlaku menyebabkan tebing tanah di kawasan itu runtuh malah aliran air yang deras dari atas melimpah turun ke permukaan jalan raya.

Rizal berkata, disebabkan kejadian itu juga dia telah terperangkap selama dua jam di dalam kereta sewaktu menunggu kenderaan miliknya itu siap dibaiki di bengkel berdekatan.

“Saya ke bengkel kereta ini untuk membaiki penghawa dingin sekitar pukul 4 petang namun hujan lebat telah menyebabkan tanah dari atas bukit yang betul-betul bersebelahan bengkel ini runtuh sebelum air deras menolak tanah ke permukaan jalan raya.

“Kereta saya pula tidak boleh bergerak memandangkan ia sedang dibaiki dan pekerja bengkel segera menyiapkannya sebelum meminta saya membawa pulang dahulu dan datang semula hari ini,” katanya.

Tambahnya, sepanjang kejadian berlaku dia tidak melihat kelibat pihak berkuasa, polis dan bomba berada di kawasan tersebut sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk kerana semua kenderaan terperangkap di jalan utama laluan penduduk sekitar itu.

Pada 6 Jun lalu, akhbar melaporkan tanah di situ runtuh berpunca daripada pokok tumbang dan mengenai tembok sebuah rumah banglo, jalan dan longkang. Bagaimanapun kejadian itu tidak membabitkan sebarang kerosakan harta benda mahupun kemalangan jiwa.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan tanah runtuh berkenaan mendapati, kerja-kerja pembaikan tanah giat dijalankan dan kerja-kerja pembersihan jalan yang dipenuhi lumpur dan debu telah dibersihkan oleh Alam Flora Sdn. Bhd.

Turut kelihatan kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kontraktor-kontraktor terlibat berada di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE