Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, manusia digalakkan untuk sentiasa menghidupkan akal agar dapat melihat kebesaran Allah tetapi apabila ia rosak, perkara itu membawa kepada penyelewengan dalam agama.

Menurutnya, kewujudan LGBT bukanlah sesuatu yang baharu kerana beliau sendiri pernah berhadapan dengan golongan itu pada tahun 1968 dan menekankan kepentingan didikan dalam setiap keluarga oleh para ibu.

"Setiap keluarga, ibu itu ialah guru kepada anak-anak dan bapa itu adalah asas yang membangunkan manusia. Tuhan berkata hendaklah kamu bergaul dengan ibu bapa kamu dengan sebaik-baik pergaulan walaupun bukan dari agama kita.

"Manusia diberikan akal yang menjadikannya lebih istimewa daripada segala makhluk selain nafsu. Nafsu ini biasanya sama dengan binatang, sebab itu manusia ini kadang-kadang, dia melayan nafsu lebih dahsyat dari binatang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Seminar Falak Nusantara 2018 anjuran Jabatan Mufti Perak dan Universiti Malaya di Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) di sini hari ini.

Seminar tersebut berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan pembentangan 23 kertas kerja dengan penyertaan 250 peserta termasuk dari Brunei, Indonesia dan Filipina.

Harussani mengulas mengenai kemunculan budaya liberal secara berleluasa seperti LGBT termasuk kemunculan poster promosi dua pelakon utama drama Thailand SOTUS: The Series yang bertemakan hubungan homoseksual dengan perkataan ‘Kissing Krist & Singto 1st Fan Meeting in Malaysia’ di laman Instagram, baru-baru ini.

Di dalam laman Instagram itu, kedua-dua watak utama lelaki drama itu iaitu Prachaya Ruangroj atau Singto dan Perawat Sangpotirat atau Krist, dijadualkan menemui peminat mereka di Auditorium Muzium Negara pada 20 Oktober ini dan peminat dikenakan bayaran masuk sebanyak RM700 dan RM500.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim menegaskan, tiada sesi bertemu peminat seperti diuar-uarkan kerana pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan isu yang melanggar norma masyarakat, justeru memohon orang ramai tidak mempercayai berita palsu tersebut. - UTUSAN ONLINE