APAD dalam kenyataannya memberitahu, lesen syarikat tersebut digantung selama tujuh hari bermula hari ini dan sehingga syarikat mematuhi keperluan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP) sepenuhnya.

Jelas agensi itu, keputusan berkenaan diambil selepas satu audit ICOP yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati syarikat terbabit gagal mematuhi keperluan ICOP.

“Perkara tersebut didapati telah melanggar syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 22 dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Di bawah akta itu, keselamatan penumpang merupakan keutamaan terpenting. Semua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung standard tertinggi dalam mengendalikan kenderaan mereka.

“APAD tidak bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan menegaskan bahawa pengendali yang gagal mematuhi keperluan ICOP boleh dikenalakan di bawah peruntukan undang-undang termasuk membatalkan lesen serta permit pengendali,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.10 malam, 7 April lalu, sebuah bas yang membawa 43 penumpang dari Putra Nilai, Negeri Sembilan terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling dekat MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mengakibatkan 12 orang maut.

Kejadian berkenaan telah mengorbankan lima warga Bangladesh, dua warga Nepal, empat orang wanita warga Indonesia dan seorang warga tempatan. - UTUSAN ONLINE