Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan itu akan diambil kira dalam kajian semula Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk mengenakan hukuman lebih berat.

Beliau berkata, hukuman di bawah seksyen itu ketika ini dilihat terlalu ringan dan tidak cukup ketat iaitu penjara maksimum 10 tahun, tanpa sebatan dan lesen digantung selama tiga tahun.

“Hukuman juga dilihat longgar, sekarang hukuman penjara maksimum adalah 10 tahun dan kebanyakan kes terdahulu, hukuman yang dikenakan kepada pesalah tidak sampai 10 tahun dan tanpa sebatan.

“Untuk lesen pula, hanya digantung selama tiga tahun. Oleh itu, kita mahu cadangkan agar lesen pesalah di bawah seksyen ini digantung untuk seumur hidup,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Siew Fook, perkara itu perlu diberikan perhatian berat kerana pihaknya memandang serius kes-kes kemalangan yang melibatkan kematian.

“Apabila seseorang itu memandu dalam keadaan melulu dan menyebabkan kematian, kesalahan yang dilakukan itu serius dan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadapnya.

“Bagaimanapun, kajian yang dibuat perlu melibatkan semua pihak berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara sebelum dibahaskan di Parlimen untuk pindaan akta,” katanya.

Antara bentuk hukuman di bawah seksyen itu ketika ini ialah penjara sehingga dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Mereka yang disabitkan bersalah juga hilang kelayakan memegang lesen memandu untuk tempoh tidak kurang tiga tahun daripada tarikh sabitan selain hilang kelayakan untuk 10 tahun bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Sabtu lalu, lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut selepas kenderaan jenis Kia Forte yang dinaiki dihimpit treler membawa muatan bijih besi sebelum terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi dekat Terowong Menora.

Kelima-lima mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di Kilometer 255.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora, susulan itu pemandu treler berumur 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Ahmad Adnan Basri mengesahkan pemandu treler itu positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian air kencing dilakukan.