Lelaki berusia 30-an itu ditahan di Stesen Bas Sungai Petani, pukul 4.15 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam memaklumkan, pihak polis menerima maklumat mengenai kes bunuh itu pada pukul 2.44 petang.

"Mayat itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan kelaran di bahagian leher.

"Pisau pemotong daging dijumpai berada di tepi kaki sebuah kipas dan dipercayai telah digunakan dalam kejadian tersebut. Terdapat juga kesan darah di ruang dalam serta hadapan kedai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kedai tersebut menjalankan perniagaan membuat kuih pau untuk diedarkan ke kedai lain di bandar ini.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat," ujar beliau.

Sazalee menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN ONLINE