Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Muhamad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.28 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun katanya, tiada pengenalan diri ditemukan pada mangsa yang dianggarkan berusia sekitar 30-an.

“Difahamkan mangsa lemas ketika sedang mandi bersama seorang rakannya di sungai berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

“Mangsa dikatakan tenggelam ketika cuba bergerak ke tengah sungai sebelum tiba-tiba hilang dibawa arus sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, gerakan mencari mangsa turut membabitkan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Sungai Petani dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda.

Operasi mencari dihentikan pada pukul 7 malam dan akan disambung esok.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohammad Faridzuan Mohd Nor, 26, berkata ketika kejadian berlaku, mereka baru sahaja selesai membersihkan kawasan tanaman tebu yang berada di tepi sungai berkenaan.

“Kami mengambil upah menjaga kawasan tanaman tebu di sini dan ketika kejadian kami sedang berehat selepas membersihkan tanaman.

“Saya ajak dia mandi sebab cuaca panas, ketika mandi, dia bergerak ke tengah sungai, saya nampak dia seakan tenggelam timbul.

“Dia sempat meminta tolong sebelum saya bertindak mengambil bot orang kampung yang berada di kawasan berhampiran, apabila saya patah balik, saya tengok mangsa sudah hilang dari permukaan air,” katanya. -UTUSAN ONLINE