Program yang diadakan sempena ulang tahun ke-60 TUDM menyaksikan hampir kesemua aset pertahanan udara seperti helikopter Nuri, helikopter EC 725 dan helikopter EC120B dipamerkan kepada umum.

Turut dipamerkan adalah pesawat A400M, C 130 H, CN235, PC-7 MKII, Hawk 108/208, FA-18D Hornet dan Sukhoi SU-30 MKM.

Panglima Tentera Udara Tan Sri Affendi Buang berkata, bagi memeriahkan program itu turut diadakan pertunjukan udara melibatkan pesawat-pesawat pejuang itu selain kombo TUDM, demonstrasi Pasukan Khas Tentera Udara (Paskau) serta demonstrasi memadam kebakaran oleh bomba TUDM.

“Pada hari ini kita memberi peluang kepada orang ramai melihat dari dekat pesawat udara milik TUDM selain menyaksikan pertunjukan udara oleh pesawat pejuang kita.

“Selain itu melalui demostrasi Paskau, mereka ditunjukkan operasi menyelamat tebusan menggunakan teknik fast-roping,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Perasmian program terbabit disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong. - UTUSAN ONLINE