Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu merangkumi sebahagian daripada 1,675 permohonan yang diterima Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Ismail Sabri berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pula telah meluluskan 158 permohonan RBN daripada 1,626 permohonan yang diterima sehingga kini.

"Sejumlah 81 unit rumah kini dalam pembinaan, manakala 16 unit telah siap," katanya semasa waktu pertanyaan menteri (MQT) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Anuar Abd. Manap (BN-Sekijang) mengenai jumlah permohonan bagi program RBN mengikut agensi bertanggungjawab iaitu FELCRA dan RISDA serta perkembangan terkini program perumahan itu.

Menerusi program RBN, kerajaan menawarkan insentif RM20,000 bagi rumah  berharga RM65,000 kepada pemohon yang layak.

Rumah berkeluasan 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik terbuka kepada belia luar bandar berumur 18 hingga 45 tahun.

RBN perlu dibina di tanah milik sendiri atau ibu bapa.

Mengenai perkembangan projek RBN di seluruh negara, beliau berkata 140 unit rumah siap dibina, 123 unit sedang dalam proses pembinaan manakala dua projek melibatkan 318 unit rumah telah memperoleh kelulusan kebenaran merancang. 

Tambahnya, tiga projek RBN sedang dalam proses kebenaran merancang melibatkan 303 unit rumah dan dua projek dengan 302 unit rumah berada di peringkat permohonan kelulusan tapak. - UTUSAN ONLINE