Perdana Menteri berkata, lawatan baginda yang juga Penjaga Dua Masjid Suci selama empat hari itu jelas menunjukkan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab kononnya Malaysia adalah sebuah negara gagal, bankrap dan tidak stabil adalah tuduhan palsu semata-mata.

Beliau turut menyifatkan lawatan Raja Salman itu telah meletakkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi pada kedudukan terbaik khususnya dalam membina hubungan strategik yang lebih erat, pembangunan ekonomi yang bermanfaat serta hubungan ummah yang lebih bermakna.

“Pada sudut ekonomi pula, sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama telah berjaya ditandatangani antara pihak swasta Malaysia dengan Arab Saudi melibatkan potensi pelaburan dan perdagangan merentas sempadan bernilai kira-kira RM9.75 bilion.

“Kemuncak lawatan tersebut adalah pelaburan ekuiti yang membabitkan syarikat minyak bagi kedua-dua negara antara Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Saudi Aramco melibatkan jumlah pelaburan RM31 bi­lion iaitu pelaburan terbesar yang dibuat oleh Arab Saudi di Malaysia ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar meminta Perdana Menteri menyatakan impak dan kepentingan lawatan sulung Raja Salman ke Malaysia yang dilakukan baginda atas jemputan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V bermula 26 Feb­ruari sehingga 1 Mac lalu.

Jelas Najib, Raja Salman turut memberi sokongan penuh penu­buhan King Salman Centre for International Peace yang menumpukan kepada kerjasama dalam bidang pertahanan khususnya menentang kega­nasan dan ideologi ekstremis agar fahaman tersebut dapat dibendung di kedua-dua negara.

Di samping itu. katanya, isu berhubung kuota jemaah haji Malaysia turut dibincangkan antara beliau dengan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan hasilnya baginda telah berkenan meningkatkan kadar kuota haji daripada 27,900 jemaah kepada 30,200 jemaah.