Anuwi Hassan

Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan berkata, pihaknya yakin per­airan Laut Sulu tidak lama lagi akan menjadi laluan yang 100 peratus selamat untuk dilalui kapal-kapal dagang dan semua komuniti maritim.

“Keganasan maritim di Laut Sulu terutama penculikan untuk meraih wang tebusan secara berleluasa telah membawa kepada peningkatan kerjasama khusus­nya pemantauan maritim, pengawasan udara, perkongsian risikan dan penubuhan Pusat Kawalan Maritim di rantau Laut Sulu.

“Apabila pelanca­ran kerjasama tiga negara ini diadakan Jun nanti oleh ketiga-tiga Menteri Pertahanan setiap negara, saya optimis perairan Laut Sulu akan bebas masalah jenayah maritim sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Serantau Undang-undang Konflik Bersenjata di Laut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Dele­gasi Jawatankuasa Majlis Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Kuala Lumpur, Isabelle Barras.

Bengkel tersebut disertai 28 pegawai tentera laut dari 22 negara seluruh dunia.

Tambah Anuwi, lautan atau kawasan perairan merupakan faktor yang amat penting dalam geopolitik Asia Pasifik kerana ia menghubungkan sempadan mari­tim yang mampu mempe­ngaruhi kemapanan rantau ini.

Katanya, setiap pelaut juga perlu dilengkapi dengan penge­tahuan berkaitan tindakan yang harus dilaksanakan ketika menghadapi ancaman di kawasan terlibat.

“Keadaan ini menjadikan tahap keselamatan maritim semakin­ kritikal dan adalah mustahak bagi kesemua pihak berkepentingan untuk menyedari perkara ini.

“Malaysia mengakui bahawa ketenteraman di laut harus di­utamakan bagi memastikan setiap laluan perdagangan adalah selamat terutamanya yang melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan,” katanya.