Seorang peniaga, Mohd. Shukri Amrilim, 31, berkata, pe­nguatkuasaan itu amat ditunggu-tunggu kerana akan memberi keselesaan kepada pelanggan lain yang ingin menjamu selera.

Katanya, langkah tersebut juga dapat membantu peniaga dalam aspek kebersihan yang mana puntung dan abu rokok tidak lagi dibuang di bawah meja.

“Saya setuju dengan cadangan itu sebab tidak semua pelanggan selesa dengan bau dan asap rokok. Meskipun tiada yang membuat aduan, apabila mereka berpindah meja, kita tahu mereka tidak selesa.

“Saya yakin cadangan kerajaan ini tidak akan menjejaskan jumlah pelanggan di kedai. Mereka pun faham apabila mahu merokok, mereka akan keluar dari kedai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye mengumumkan bahawa semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok mulai Disember ini.

Ujar beliau, langkah itu merupakan inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Pe­raturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Bagi Nor Hidayah Said, 34, cadangan itu amat menggembirakan peniaga sepertinya kerana sikap pe­rokok yang tidak menjaga kebersihan sehingga menyebabkan kawasan kedai kotor dengan abu dan puntung rokok.

Katanya yang berniaga di Me­dan Selera Dato Sagor, asap rokok bukan sahaja menyebabkan pe­langgan berasa tidak selesa, ma­lah mereka yang berniaga di situ juga merasakan perkara sama.

“Sebelum ini ada juga kawasan larangan merokok, namun tidak nampak sangat keberkesanannya. Saya berharap kali ini ia dikuatkuasakan dengan lebih tegas,” katanya.

Sementara itu, Nooriah Samsuri, 55, berkata, langkah menjadikan restoran terbuka sebagai kawasan larangan merokok tidak akan menghalang pelanggan setia untuk datang menjamu selera di kedainya.

Katanya, sekira ada cadangan untuk menyediakan bilik khas bagi perokok di semua restoran terbuka, diharap kerajaan akan menyalurkan peruntukan untuk proses pengubahsuaian.

“Kalau boleh janganlah merokok di kedai sebab ia akan menyebabkan kawasan kedai kelihatan kotor,” katanya.