Mohamad Fuzi Harun

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sebaliknya keputusan itu dibuat berpandukan maklumat kese­lamatan bahawa wujud perancangan untuk mensabotaj jika program itu diteruskan.

Katanya, jika dilihat festival sama pada tahun sebelumnya, ia tidak pernah disekat memandangkan tiada maklumat ancaman sedemikian.

“Bantahan yang dibuat pada tahun ini tiada bersangkut paut dengan sensitiviti keagamaan, perkauman ataupun desakan politik,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa pihak termasuk ahli politik pembangkang yang mempersoalkan tindakan PDRM mela­rang penganjuran Better Beer Festival 2017.

Justeru, Moha­mad Fuzi menjelaskan PDRM tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak yang mahu maklumat keselamatan didedahkan apatah lagi kepada mereka yang daif tentang keperluan menjaga kerahsiaan operasi.

Jelasnya, polis tidak akan sama sekali menggadaikan ke­selamatan rakyat hanya kerana wujud tekanan daripada pihak berkepentingan.

“Kita semua harus faham bahawa memerangi ancaman militan bukanlah sesuatu yang mudah. Kuasa-kuasa besar dunia yang memiliki kecanggihan teknologi sekali pun gagal menyekat negara mereka dari terus menjadi sasaran militan.

“Apa yang jelas tindakan pencegahan lebih berkesan daripada membiarkan jiwa terkorban dahulu sebelum tindakan eksekutif diambil,” jelasnya.

Mohamad Fuzi turut mengulangi pendirian bahawa PDRM tidak akan berganjak daripada keputusan sebelum ini untuk melarang festival tersebut memandangkan ancaman itu adalah nyata dan tiada kompromi.