Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan, pihak yang mengamalkan polisi tersebut ternyata tidak bertanggungjawab kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pihak pengurusan hotel dan masyarakat luar yang menetap atau berkunjung ke negara ini harus menghormati polisi atau Perlembagaan sedia ada.

“Di setiap negara ada undang-undang tubuh, basic law, mana-mana aktiviti yang dilakukan di negara itu tidak boleh bertenta­ngan dengan Perlembagaan negara terbabit. Ini merupakan satu bentuk diskriminasi.

“Sekali lagi saya tegaskan, pihak hotel atau individu yang turut mempertahankan tindakan itu juga memiliki sifat kurang ajar. Mereka sepatutnya memprotes, bukannya menyatakan sokongan kerana ini bukan budaya Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar majlis Prapelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH), Samuel Cheah Swee Hee bahawa dasar itu di­amalkan rangkaian hotel antarabangsa yang menggunakan prosedur operasi standard (SOP) pemakaian uniform di semua rangkaian hotel mereka di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri memberitahu, setakat ini, kementeriannya belum mene­rima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.

“Tanggungjawab kementerian dalam bidang perhotelan adalah memberi rating sahaja dan ia tidak berdasarkan kepada pakai­an, tetapi kemudahan-kemudahan yang wujud di hotel.

“Jadi soal pelesenan terpulang kepada pihak kerajaan tempatan (PBT). Mereka perlu tegas untuk tidak membenarkan perbuatan diskriminasi terhadap wanita ini terus berlaku walau atas alasan apa pun.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas melanggar undang-undang negara. Ini negara kita,” katanya.

Sementara itu, penganjuran kali ketiga KLICF yang bakal berlangsung pada 23 November hingga 26 November ini di Dataran Putrajaya menyediakan platform perniagaan bertaraf antarabangsa kepada usahawan kraf dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 170 usahawan kraf mewakili 35 negara termasuk Argentina, Brunei, Cuba, Nepal, Maldives dan Pakistan akan menyertai festival yang bertemakan ‘Kraf Menyatukan Masyarakat’ tersebut.