Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tujuan laporan itu dilakukan kerana jelas berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh Norhizam sebagai antara Exco Kerajaan Negeri.

“Beliau (Norhizam) tiada kuasa untuk menggeledah seperti mana yang kita tahu kerana jika mahu geledah, kuasa itu ada pada pihak polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan itupun mesti ada waran.

“Sekarang ini mereka dah salah gunakan kuasa yang ada. Kuasa yang ada, ‘Kau kenal aku siapa?’ (merujuk ayat yang dikeluarkan Norhizam baru-baru ini). Ini kuasa yang ada kepada wakil rakyat daripada DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya satu siasatan dijalankan terhadap Norhizam berhubung insiden tersebut di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek bersama penyokong-penyokong mereka.

Baru-baru ini, kerajaan negeri berjaya membongkar dua stor simpanan dipercayai menempatkan baja subsidi kerajaan yang diseleweng, di Kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai, Jasin dekat sini.

Norhizam memberitahu, pihaknya membuat serbuan itu bersama pasukan polis kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada hari kejadian.

Menurutnya, kedua-dua stor simpanan itu berjaya dipecahkan pada pukul 5.30 pagi selepas lebih tujuh jam menunggu namun penjaganya enggan memberi kerjasama membuka tempat simpanan tersebut. - UTUSAN ONLINE