Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sesi pembentangan dan penyerahan laporan tersebut juga telah dibuat kepada pihaknya, semalam.

“Sesi gerak kerja jawatankuasa siasatan kematian enam orang anggota bomba di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong telah dilaksanakan selama 21 hari bermula 26 November hingga 14 Januari lalu.

“Hasil laporan siasatan dan tindakan penambahbaikan akan diumumkan setelah jawatankuasa tersebut melaporkannya secara rasmi kepada menteri-menteri di kabinet nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 3 Oktober lalu, negara dikejutkan dengan kejadian enam anggota bomba PPDA maut dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Cyberjaya.

Mereka ialah Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Yahya Ali, 24; Mazlan Omarbaki, 25; Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, ke­semua anggota berkenaan dilaporkan lemas akibat dibawa arus deras.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 November lalu bersetuju supaya sebuah jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi mengkaji dan mengenal pasti punca sebenar kejadian dan seterusnya mencadangkan langkah penambahbaikan agar insiden sepertinitu tidak berulang.

Kematian enam orang anggota PPDA itu merupakan insiden pertama dalam sejarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sepanjang 135 tahun penubuhannya. - UTUSAN ONLINE