Laporan polis itu dibuat kira-kira pukul 3 petang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini antaranya oleh Pas Kawasan Indera Mahkota, UMNO Bahagian Indera Mahkota dan Kuantan, Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Ukhuwah dan Silaturahim Pahang (Ukhwah) serta Persatuan Bekas Polis Indera Mahkota.

Kira-kira 100 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik itu berkumpul di hadapan IPD berkenaan sambil melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebagai tanda sokongan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Laporan polis berhubung perkara berkenaan turut dibuat di seluruh negeri ini termasuk UMNO Bahagian Jerantut dan Pemuda UMNO serta Pas Raub.

Jurucakap mereka, Andansura Rabu berkata, gambar yang dimuat naik pengendali laman Facebook itu adalah biadab yang sekali gus mengundang kemarahan seluruh rakyat di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, perbuatan itu menunjukkan kejelikan melampau dan provokasi yang tidak boleh diterima oleh semua kaum.

“Perbuatan seperti ini boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian negara.

“Pihak berkuasa diminta menyiasat dan mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap pengendali laman Facebook berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan. - UTUSAN ONLINE