Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, prosedur dan pekeliling kewangan harus dipatuhi agar program, aktiviti atau projek dapat dilaksanakan dengan cekap.

Menurutnya, dana awam yang ditadbir urus dengan baik akan mengurangkan pembaziran.

“Perancangan dan pemantauan projek kerajaan harus dibuat dengan lebih teliti dan kerap oleh semua kementerian supaya tidak berlaku sebarang permasalahan seperti kelewatan atau terbengkalai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebagai usaha memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, Ismail menegaskan, semua kementerian juga diminta untuk membangunkan pelan antirasuah organisasi (OACP) di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

“Ini adalah bagi mengenalpasti dan menangani kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi seterusnya dapat mengatasi permasalahan pengurusan kewangan yang tidak cekap,” katanya.

Beliau memberitahu, LKAN 2018 bagaimanapun menunjukkan prestasi pengurusan kewangan serta projek yang bertambah baik dan cemerlang. - UTUSAN ONLINE