Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai dakwaan nelayan-nelayan di kawasan Muar itu.

Katanya, nelayan yang mendakwa menerima ugutan dan sengaja ditahan pihak berkuasa setelah mengemukakan bukti pencerobohan bot pukat tunda haram diminta tampil membuat laporan polis.

“Kalau betul nelayan diugut oleh penguat kuasa, saya nasihatkan nelayan itu kena buat laporan polis, selepas itu barulah kita boleh bertindak.

“Tetapi perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan saya ambil maklum tentang perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tuzra Marketing, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan nelayan diugut penguat kuasa laut selepas tampil membuat laporan mengenai pencerobohan bot pukat tunda asing di Muar.

Perkara itu dibangkitkan semasa sesi Dialog Bersama Nelayan dan Agensi Kerajaan di Muar, semalam yang dihadiri Syed Saddiq.

Salahuddin berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang tindakan hanya berdasarkan dakwaan semata-mata sebaliknya memerlukan satu laporan yang lengkap kepada pihak polis. - UTUSAN ONLINE