Pengerusi RCI tersebut, Tun Arifin Zakaria berkata, antara terma itu adalah meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan kes penemuan kes itu serta menyiasat kejadian.

"Selain itu mengenalpasti implikasi terhadap negara selepas kejadian, mengesyorkan tindakan serta penambahbaikan boleh diambil kerajaan.

"Menyiasat sama ada penambahbaikan telah dilaksanakan terhadap prosedur penguatkuasaan selepas kejadian," katanya dalam ucapan perbukaan pada sesi pendengaran awam hari pertama di sini hari ini.

RCI hari ini memanggil saksi pertama iaitu Koperal Mat Ten dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

RCI juga dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai selaku timbalan pengerusi serta enam anggota RCI yang lain.

Selain itu, pendengaran RCI itu juga dibantu dua pegawai pengendali iaitu Khairul Anuar Abdul Halim dah Saiful Hazmi Mohd. Saad.

Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Pada 27 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berkenaan.

Laporan siasatan RCI itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. - UTUSAN ONLINE