Peserta tersebut terma­suk qari negara yang merupakan johan tila­wah al-Quran peringkat kebangsaan tahun ini, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad <b>(gambar)</b>.

Selepas sembilan peserta ka­tegori tilawah al-Quran selesai memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran semalam, malam ini qari dari Afrika Selatan menjadi peserta pertama tilawah.

Mubariek Taliep memperdengarkan bacaan surah Al-Mukminun ayat 91 di hadapan kira-kira 1,000 hadirin di Dewan Merdeka, Pusat Dagang­an Dunia Putra (PWTC) di sini.

Qari dari Singapura, Nor Muhammad Ali pula memperdengarkan surah Al- An’am ayat 95; Yeraliyeva Guljuaynar, Kazakhstan (surah At-Taubah ayat 111); Mohammad Ayyub Asif, United Kingdom (Al-Maidah ayat 77) dan Wan Fakhrul Razi (surah Al-A`raf ayat 80)
Turut memperdengarkan ba­caan ialah Imane Ezouatni, Maghribi (surah Ibrahim ayat 35); Hamed Alizadeh Marghzari Gholam Hassan, Iran (surah Al-Anfal ayat 45) dan Hussein Tahir Shakr, Iraq (surah A`raf ayat 1)
Seramai 89 peserta dari 55 buah negara menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ini.

Bagi kategori tilawah al-Quran, seramai 56 peserta iaitu 30 qari dan 26 qariah bersaing dalam temasya tahunan yang dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula pada 15 hingga 20 Mei ini.

Semalam telah berakhirnya kategori hafazan al-Quran yang disertai oleh 33 orang iaitu 23 hafiz dan 10 hafizah.

Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dijangka berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan penutup majlis berprestij yang bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah itu malam esok.

Kepingan emas bernilai RM70,000 dan wang tunai RM40,000 menanti johan qari dan qariah dalam kategori ti­lawah al-Quran sementara johan untuk kategori hafazan al-Quran bakal membawa pulang kepi­ngan emas bernilai RM50,000 dan wang tunai RM20,000.