Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, daripada jumlah itu tujuh pesakit mengalami gejala batuk dan sesak nafas manakala seorang lagi didapati cirit-birit, sakit perut dan muntah dengan kini menerima rawatan jangkitan Gastroentritis Akut (AGE).

Katanya, penemuan itu hasil aktiviti survelan dan saringan yang dilakukan Jabatan Kesihatan negeri di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu yang menjadi penempatan baharu seramai 23 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh.

“Kesemua yang ditahan di wad dalam keadaan stabil dan berusia antara empat hingga 25 tahun dengan tiga daripadanya adalah perempuan manakala lima lagi lelaki.

“Beberapa sampel klinikal telah diambil dan dihantar ke makmal untuk menjalani ujian pengesahan dan keputusan dijangka siap dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd., Jabatan Kesihatan negeri mengambil langkah proaktif melakukan aktiviti survelan ke atas empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah iaitu Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu susulan kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan Orang Asli Kampung Kuala Koh.

Katanya, saringan yang dilakukan ke atas sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu dan empat anak di Kampung Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu mendapati kelima-lima mereka sihat dan tiada sebarang tanda-tanda simptom respiratori dan demam.

“Kita masih meneruskan aktiviti survelan dan saringan di penempatan orang asli di Kampung Sungai Berua dan Kampung Gerdong di samping ceramah kepada komuniti dan nasihat berkenaan kebersihan diri dan persekitaran.

“Orang asli juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik berdekatan atau ke hospital jika terdapat ahli keluarga atau rakan-rakan yang tidak sihat. Hal itu kerana jangkitan saluran pernafasan adalah sangat mudah untuk berjangkit terutama di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem latihan tentera dan polis.

Menurut Mohd., secara amnya, jangkitan salur pernafasan boleh mengakibatkan gejala jangkitan yang ringan terhadap individu biasa, bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan jangkitan yang teruk seperti radang paru-paru kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, lelah dan sebagainya.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat untuk mendapatkan rawatan bagi gejala jangkitan yang dialami untuk mengelakkan ia menjadi bertambah serius dan seterusnya menimbulkan komplikasi yang tidak diingini.

“Sebagai langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan salur pernafasan, pihak Jabatan Kesihatan negeri ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’ di samping mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat,” katanya. - UTUSAN ONLINE