Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pelantikan ke jawatan tertinggi itu perlu bebas daripada pengaruh politik bagi mengelakkan berlakunya pertembungan konfklik antara politik dan sukan sehingga menjejaskan perkembangan sukan negeri.

“Adalah lebih baik melantik mereka yang berkemampuan untuk mengisi jawatan tertinggi itu seperti bekas atlet, tokoh korporat atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang berpengalaman dalam bidang ini.

“Pelantikan ini tidak seharusnya datang daripada mana-mana kepimpinan tertinggi parti politik seperti yang dilakukan di Majlis Sukan Negara (MSN), tiada pemimpin politik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR atau DAP dilantik ke jawatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama exco-exco belia dan sukan negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, mesyuarat tersebut yang pertama kali diadakan turut memuktamadkan penubuhan semula jawatankuasa atau ahli lembaga MSN selepas lebih 10 tidak diaktifkan.

Beliau berkata, langkah tersebut dibuat bagi memastikan pemusatan kuasa tidak berlaku serta proses pembangunan sukan dan belia di setiap negeri dapat dilaksanakan tanpa mengira fahaman politik.-UTUSAN ONLINE