Jabatan Pendidikan (JPN) Sarawak dalam kenyataan menjelaskan, pihaknya masih tertakluk kepada keputusan Ujian Psikometrik yang dikendalikan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang melayakkan pemohon dipanggil untuk sesi temuduga yang dijalankan oleh jabatan berkenaan.

Ujar kenyataan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPN Sarawak sentiasa berusaha meningkatkan profesion perguruan agar menjadi lebih berprestij.

“Bagi tujuan itu, di bawah Anjakan Keempat (4), Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 20132025 telah menggariskan usaha KPM untuk mentransformasi profesion perguruan dengan mengetatkan syarat kemasukan ke IPG iaitu, menyasarkan 30 peratus pelajar cemerlang mulai 2013.

“Hal ini bermakna, semua calon guru yang mengikuti latihan perguruan perlu memenuhi syarat minimum kelayakan akademik bagi memastikan kualiti guru sentiasa terjamin dan memenuhi keperluan semasa,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, ujar kenyataan tersebut, pada masa kini hanya calon terbaik yang memenuhi syarat pengambilan guru akan ditemuduga dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di KPM oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM).

Jelas kenyataan itu, dasar semasa KPM dalam urusan pengambilan guru baharu adalah memberi keutamaan kepada graduan IPG dan universiti awam keluaran semasa khususnya yang ditaja oleh KPM.

“Calon yang mempunyai kelayakan yang ditetapkan akan dipanggil untuk ditemuduga oleh SPP berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di sekolah di bawah pentadbiran KPM dan permohonan perlu dibuat melalui portal JobsMalaysia bagi urusan temuduga.

“Selaras dengan pelaksanaan Dasar Penurunan Kuasa 90:10 di Sarawak, beberapa tindakan telah diambil oleh pihak KPM bagi mencapai sasaran itu pada 2018 iaitu pelaksanaan penempatan guru baharu dan pertukaran guru sedia ada atas kepentingan perkhidmatan,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, pengambilan pelajar fakulti pendidikan dalam kalangan pelajar kelahiran Sarawak di universiti awam dan guru baharu kelahiran Sarawak secara pasaran terbuka adalah tertakluk kepada syarat skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang sedang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan itu, bagi mengisi kekosongan jawatan yang tidak dapat ditampung oleh bekalan graduan pendidikan kelahiran Sarawak dari IPG dan universiti awam, KPM telah melaksanakan pelantikan guru secara interim dalam kalangan graduan pendidikan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang berasal dari Sarawak secara pasaran terbuka.

Katanya, KPM mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dalam urusan pengambilan calon guru interim, manakala JPN Sarawak telah diberi kuasa oleh kementerian untuk melantik calon yang berkelayakan sebagai guru interim.

Pada 2015, bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem mengumumkan inisiatif 90:10 susulan penurunan kuasa daripada Putrajaya dalam lima sektor, iaitu pendidikan, projek, pertanian, kebajikan dan perumahan.

Di bawah dasar tersebut, kerajaan Sarawak mensasarkan 90 peratus guru kelahiran Sarawak berkhidmat di negeri ini menjelang 2018 dapat dicapai, apabila jumlah pendidik dari negeri lain berkurangan kepada 11.3 peratus atau 4,738 orang. - UTUSAN ONLINE