Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, menambahkan lagi punca keganasan tidak akan membantu.
Beliau berkata, beliau telah menyen­tuh perkara itu dalam perbincangan dua hala beliau pada Khamis dengan rakan sejawatannya dari Australia, Scott John Morrison, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di sini.

“Saya telah membangkitkan bahawa dalam menangani keganasan seseorang itu perlulah mengetahui puncanya. Menambah punca keganasan tidak akan membantu. Saya sudah nyatakan perkara itu,” kata Dr. Mahathir kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, Australia belum mengambil apa-apa keputusan untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv dan “mereka sedang mengkaji perkara itu.”

Amerika Syarikat mengumumkan pada Jun lalu bahawa ia akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, yang mencetuskan rusuhan besar-besaran di Gaza yang menyaksikan lebih 50 rakyat Palestin terbunuh.

Morrison, yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Ogos telah berkata, beliau ‘terbuka’ untuk mencontohi langkah itu, yang disifatkannya sebagai satu cadangan ‘berakal’.
Kedua-dua Dr. Mahathir dan Morrison menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-13 hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan kepada Amerika Syarikat, kapal perang tidak dibenarkan di perairan ASEAN, namun bot kecil mungkin boleh.

“Jika strategi itu tidak melibatkan penghantaran ‘The Seventh Fleet’ di kawasan ber­kenaan, kita akan menyambut baik perkara itu,” katanya ketika ditanya mengenai pemahaman dan harapan ASEAN terhadap strategi Indo-Pasifik Amerika Syarikat.

Ketika berucap pada sisi Persidangan ASEAN 2018 di sini, beliau berkata, Malaysia me­nyatakan pendiriannya bahawa lautan di sekitar rantau ASEAN hendaklah bebas daripada kapal perang yang besar.

“Bot peronda yang kecil diperlukan untuk membendung ter­utama lanun, tetapi kapal perang yang besar boleh menyebabkan insiden dan seterusnya mewujudkan ketegangan.

‘The Seventh Fleet’ ialah kapal bernombor (satu pembentukan tentera) bagi Tentera Laut Amerika Syarikat. Ia sebahagian daripada Pacific Fleet Amerika Syarikat,” katanya. – BERNAMA