Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini beliau masih belum dimaklumkan mengenai sebarang laporan dibuat berkenaan kes tersebut.

“Sekiranya laporan sudah dibuat, macam biasalah, kita akan tengok tindakan yang boleh dibuat, sekiranya lebih kepada unsur rasuah, kita akan serah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya dalam sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membuat pendedahan kerugian RM500 juta itu ekoran hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek land swap terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion. - UTUSAN ONLINE