Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, pelaksanaan GST dianggap tepat pada masanya ketika harga pasaran minyak dunia turun mendadak mengakibatkan negara kehilangan sumber pendapatan yang tinggi, namun itu berjaya diimbangi oleh pelaksanaan sistem cukai tersebut.

“Meskipun memperkenalkan GST, kerajaan masih mengambil kira keperluan dan kepentingan golongan kurang berkemampuan apabila kadar yang dikenakan hanya enam peratus berbanding negara lain yang mengenakan GST antara tujuh hingga mence­cah lebih 20 peratus.

“Malah Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengiktiraf usaha Malaysia melaksanakan GST dan kerajaan India pernah menjadikan negara kita sebagai contoh sebelum melaksanakan sistem cukai mereka yang juga dinamakan GST.

Kerajaan Arab Saudi juga sedang merancang melaksanakan sistem cukai seperti yang kita laksanakan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis tamat latihan Kursus Asas Penguasa Kastam Gred WK41 dan Penolong Penguasa Kastam Gred WK29 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) Bukit Baru di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam; Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya; Pengarah JKDM Melaka, Datuk Mohd. Noor Yusoff dan Pengarah Akmal, Datuk Azimah Abd. Hamid.

Menurut Mohd. Irwan Serigar berkata, kerajaan juga memberi banyak ‘kelonggaran' termasuk pelepasan cukai kepada barangan keperluan masyarakat antaranya makanan, peralatan kesihatan dan ubat-ubatan berbanding negara lain yang mengenakan kadar GST yang tinggi serta tiada pelepasan cukai melibatkan semua bara­ngan.

Menyentuh mengenai Bajet 2018, beliau menyifatkan itu adalah satu perancangan menyeluruh kerajaan melibatkan semua golo­ngan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan pertanian, data teknologi digital, golongan wanita serta masyarakat akar umbi bermula daripada bayi sehingga warga emas.

“Kerajaan bukan sahaja membentangkan Bajet 2018 untuk tahun hadapan, malah ia merupakan perancangan negara menerusi pelan jangka sederhana antaranya pengukuhan sektor pendidikan dan pelan jangka panjang iaitu ke arah merealisasikan pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50),” jelas beliau.

Sementara itu, Mohd. Irwan Serigar memaklumkan, JKDM sedang mengadakan kajian lebih terperinci berhubung hasrat kerajaan mengkorporatkan jabatan itu yang diumumkan Perdana Menteri pada Mac lalu untuk menyediakan skim perkhidmatan yang lebih baik terhadap agensi tersebut.