Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bertitah, konsep itu amat penting untuk membantu kejayaan dan kecemerlangan mereka dalam kehidupan.

“Ini kerana kelulusan dalam peperiksaan bukanlah satu-satu­nya nilai yang mencerminkan kejayaan dan kecemerlangan seseorang graduan.

“Para graduan juga akan dinilai dari segi sifat-sifat murni seperti bertanggungjawab, hormat-menghormati, bersopan santun dan berdisiplin tinggi,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Majlis Konvokesyen USIM Ke-16 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pro-Canselor USIM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Seramai 246 graduan menerima ijazah sarjana muda, manakala seramai 235 graduan lagi menerima ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah pada majlis konvokesyen yang bertemakan ‘Pembangunan Lesta­ri.’

Tuanku Aishah Rohani bertitah, konsep pembangunan lestari juga wajar dijadikan asas dalam pengurusan universiti supaya ia mempunyai keseimbangan dari segi sumber manusia, prasarana dan para pelajar.

“Ketidakseimbangan dalam mana-masa aspek akan menghalang universiti untuk terus maju dalam mengharungi perubahan persekitaran.

“Oleh itu bagi memastikan USIM menjadi sebuah gedung ilmu yang ulung. konsep les­tari perlu dijadikan asas dan teras universiti. Hasilnya nanti, USIM akan mampu melahirkan graduan yang relevan kepada masyarakat,” titah baginda.

Tuanku Aishah Rohani turut mengingatkan graduan supaya memanfaatkan segala ilmu, kemahiran dan penga­laman yang dipelajari di universiti apabila melangkah ke alam pekerjaan.

“Sentiasalah bersifat jujur dan amanah semasa menjalankan tugas. Di samping itu janganlah lupa pengorbanan ibu bapa, curahkanlah khidmat bakti kepada mereka sebagai tanda syukur dan terima kasih,” titah baginda.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi telah dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor USIM bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa dari 15 Julai lalu hingga 14 Julai 2021.