Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, seorang pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama 'Alvin Chow' didakwa menaik status mencaci kesucian agama Islam dan menghina bangsa Melayu.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat sama ada perbuatan itu dicetuskan menerusi arahan tertentu bagi mencetuskan provokasi.

“Selain itu, tindakan segera perlu diambil dan dilaksanakan segera agar pelaku terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Tatkala kita belum reda dengan satu kes baru-baru ini, timbul satu lagi provokasi bagi menimbulkan kemarahan dan sekali gus ingin mengugat kehormonian tanah air,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama wakil Pemuda Amanah Se­langor hadir membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama 'Alvin Chow' kerana didakwa menghina agama Islam menerusi akaun Twitter milik­nya.

Pada masa sama, Abbas berkata, pihaknya memandang serius sebarang penghinaan terhadap Islam selaku agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang termasuk kaum dan fahaman politik sekiranya mereka didapati terlibat provokasi menghina agama.

Sebelum ini, seorang lelaki warga emas, Foo Sing Wai didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah dengan memuat naik karikatur berunsur penghinaan di laman akaun Facebook miliknya.