Menurut sumber, individu yang merupakan keluarga terdekat pemimpin kerajaan ne­geri itu dipercayai menjadi orang tengah bagi berurusan dengan kontraktor-kontraktor untuk mendapatkan pelbagai projek daripada kerajaan negeri.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati, individu berkenaan hidup mewah walaupun hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mene­liti kesahihan dakwaan terhadap individu tersebut dan sejauh manakah penglibatannya dalam projek-projek kerajaan negeri sejak 2014,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Khamis lalu, empat individu termasuk anak saudara kepada Menteri Besar direman tujuh hari kerana dipercayai terlibat melindungi kegiatan lombong pasir dan batu haram di Selangor.

Suspek yang dikenali sebagai ‘Aboy’ menjadi orang tengah bagi berurusan dengan agensi penguat kuasa dan kerajaan negeri supaya kegiatan haram itu tidak diganggu.

Selain itu, suspek berusia 37 tahun tersebut juga dikatakan memiliki kenderaan mewah dan sentiasa bercuti di luar negara hasil wang sogokan yang diperoleh daripada syarikat-syarikat yang mahu mendapatkan projek daripada kerajaan negeri.