Pengerusi Ahli Lembaga Tad­bir SRIBU, Norazman Ishak men­dakwa, sekolah agama itu sudah menerima bantuan daripada ke­ra­­­jaan negeri sejak 2008, namun dinafikan untuk tahun ini.

Menurut beliau, SRIBU ber­ope­ra­si sepenuhnya dengan ber­gantung kepada yuran pengajian yang ren­dah dan sumbangan masyarakat.

Dengan sumber yang terhad itu, jelasnya, SRIBU amat memerlukan sumbangan daripada kerajaan ne­­­geri dan permintaan tersebut bukan sesuatu yang melampau kerana sekolah agama berkenaan menyediakan peluang pendidikan untuk rakyat negeri ini serta dari luar negeri ini.

“SRIBU menjadi pilihan dan tumpuan masyarakat di negeri ini daripada pelbagai latar be­la­kang dan sebahagian besar me­reka merupakan golongan yang berpendapatan rendah dan se­der­hana.

“Maka, penarikan bantuan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang kepada SRIBU adalah sesuatu yang amat mendukacitakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain SRIBU, turut ditarik balik bantuan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang adalah Sekolah Rendah Is­lam Al-Ansor (SRIA) di Balik Pu­lau di sini, yang Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusof me­rupakan pengetuanya.

SRIBU yang beroperasi sejak 2005 berdaftar sebagai sekolah agama rakyat di bawah Jabatan Aga­ma Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) dengan nombor pendaftaran JAIPP/Pend/-5-BM-(R) 0033.

Dalam pada itu, Norazman men­­­jemput wakil kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya Pe­nge­rusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Ne­geri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malek Abul Kassim meninjau sendiri sekolah berkenaan yang beroperasi dalam keadaan kekurangan.

Ini kerana, kata beliau, Abdul Malek sebelum ini membuat ke­nyataan kononnya keutamaan ban­tuan untuk sekolah agama rakyat hanya diberikan kepada sekolah yang daif.

“Kita berharap tiada campur tangan politik dalam isu ini yang cuba menganiaya kita, para pelajar dan waris di sekolah ini.

“Ini kerana masyarakat yang menyokong dan menghantar anak ke sekolah ini adalah mereka yang terdiri daripada pelbagai fahaman politik termasuk PKR, Parti Amanah Negara, UMNO dan mungkin juga DAP, serta pengundi atas pagar,” ka­tanya.