Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, KXP AirportCity adalah syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang akan mula beroperasi secara rasmi pada 4 Mac ini.

Menurutnya, entiti khas itu juga merupakan agensi tunggal yang akan mewakili kerajaan negeri untuk membuat sebarang rundingan dengan kementerian, jabatan dan agensi-agensi pusat bagi mendapatkan kelulusan berkaitan projek KXP.

"KXP AirportCity akan mengendalikan segala perkara seperti merancang, menyelaras dan menguruskan aspek berkaitan pembangunan KXP termasuk menarik pelaburan swasta ke dalam projek berkenaan.

"Sehingga kini, sudah ada beberapa syarikat menunjukkan minat untuk terlibat dalam pembangunan KXP tetapi kita akan nilai satu persatu, ada syarikat yang mahu menjadi pelabur sahaja dan terdapat juga yang memang ada kepakaran dan pengalaman menguruskan lapangan terbang khususnya penerbangan kargo," katanya selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Mukhriz yang Pengerusi KXP AirportCity dibantu tiga Ahli Lembaga Pengarah iaitu, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Ir. Jamilus Hussein dan Ketua Eksekutif PKNK, Abdul Rahman Abdullah.

Sementara itu, Mukhriz mengumumkan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation, Datuk Dr. Ir. Annuar Mohd. Saffar sebagai CEO KXP AirportCity.

"KXP yang secara prinsipnya telah menerima kelulusan daripada Kerajaan Pusat untuk membangunkan lapangan terbang yang menumpukan aktiviti logistik dan kargo merupakan projek berimpak tinggi yang akan turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

"Salah satu komponen yang diberi tumpuan dalam pembinaan KXP ialah sektor aero angkasa dengan membangunkan sebuah taman perindustrian bagi industri pesawat yang juga akan menarik penyertaan dan pelaburan negara asing," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan lebuh raya baharu dari Bandar Baharu ke Sungai Petani untuk menghubungkan Sidam Kiri yang merupakan lokasi KXP.

"Langkah ini juga untuk memudahkan akses ke lapangan terbang itu dan jika Perak bersetuju kita akan menjadikan Changkat Jering atau mana-mana kawasan yang bersesuaian di negeri itu sebagai permulaan lebuh raya berkenaan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE