Ahli Parlimen Rembau, Khai­ry Jamaluddin berkata, antara komponen utama cukai langsung adalah cukai pendapatan petroleum yang dikenakan ke atas syarikat petroleum huluan (upstream) dan bermula Januari 2018, harga minyak dunia telah melambung naik.

“Tidak sekalipun pada tahun 2018 harga minyak dunia berada pada paras AS$52 ke bawah.

KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN 

Purata harga minyak dunia sepanjang tahun 2018 adalah AS$68.

“Jika dibaca kenyataan penuh Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), boleh dilihat berlaku peningkatan ketara dalam kutipan cukai pendapatan petroleum iaitu sebanyak RM8.32 bilion berbanding anggaran awal. Jadi tidak hairanlah apabila kutipan cukai langsung ini meningkat,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan kutipan kasar cukai langsung negara oleh LHDN bagi tahun lalu ialah sebanyak RM137.035 bilion iaitu meningkat 11.13 peratus atau RM13.723 bi­lion berbanding 2017.

Menurut Guan Eng jumlah kutipan itu mencipta sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai sama yang direkodkan pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM133.700 bilion.

Jelas Guan Eng lagi, pres­tasi kutipan yang sangat memberangsangkan itu jelas merupakan kesan daripada strategi-strategi yang efektif dan berkesan berkaitan percukaian ditetapkan oleh kerajan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tambah Khairy, kenyataan Guan Eng kononnya peningkatan kutipan cukai langsung adalah kerana dasar kerajaan PH adalah suatu kisah dongeng yang jelas menipu rakyat.

“Tiada langsung keajaiban yang dibuat beliau ataupun kerajaan PH sebaliknya peningkatan tersebut adalah kerana faktor kenaikan harga minyak dunia.

“Guan Eng perlu hentikan segera propaganda murahan yang dibuat untuk menutup kelemahan pengurusan ekonomi di bawah PH. Harga barang tak turun, puluhan ribu anak muda masih menganggur, gaji tak naik, pekebun kecil mengeluh, peniaga mengadu aktiviti ekonomi tidak rancak, itu patut menjadi keutamaan kerajaan PH. katanya.

Sementara itu, Khairy menjelaskan, ketika pembentangan Bajet 2018 dibuat pada tahun 2017, kerajaan Barisan Nasional (BN) menyasarkan kutipan cukai langsung sebanyak RM127.7 bilion dan menjangkakan hasil cukai petroleum adalah sebanyak RM11.4 bilion dengan andaian harga minyak dunia adalah AS$52.

“Hasil kutipan bagi cukai langsung lain seperti cukai pendapatan individu, syarikat dan lain-lain dilihat tidak mempunyai perbezaan besar dengan anggaran yang dibuat oleh kerajaan BN pada tahun 2017,” katanya.