Wanita tersebut, Aspalela Zan, 42, yang menetap di Kampung Wawasan Indah, Penempatan Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah di sini terpaksa menebalkan muka mencari bahan terbuang seperti besi buruk, tong dan botol plastik untuk dijual.

Dia terpaksa berbuat demikian sejak tiga tahun lalu untuk membantu suaminya yang bekerja kampung menyara keluarga besar mereka yang terdiri daripada 13 orang.

Mereka terdiri daripada anak-anak serta cucu-cucunya yang mendiami rumah yang terlalu daif, hanya beralaskan tikar getah koyak dan berlantaikan simen manakala bumbung rumah pula semakin mereput.

‘‘Pendapatan daripada mencari barangan besi buruk dan botol plastik tidak menentu, se­minggu hanya boleh dapat RM100 hingga RM200 sahaja.

‘‘Suami saya bekerja mengambil upah mengait kelapa sawit. Disebabkan harga sawit yang semakin murah, upah yang dite­rima suami saya juga semakin sedikit iaitu RM20 berbanding RM50 hingga RM60 setiap kali mengambil upah,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Aspalela, disebabkan kesempitan hidup, empat anak­nya terpaksa berhenti sekolah dan hanya empat yang lain meneruskan persekolahan.

‘‘Kami terpaksa bekerja keras untuk mencari wang demi menampung persekolahan anak-anak seperti duit belanja harian dan pembelian barang perseko­lahan apatah lagi untuk sesi baharu persekolahan bakal bermula tidak lama lagi.

‘‘Biasanya kos belanja harian anak-anak ke sekolah kira-kira RM20, itu pun kami terpaksa ikat perut demi memastikan anak-anak dapat duit belanja,’’ katanya.

Kata Aspalela, akibat kesempitan hidup, mereka kerap makan ubi kayu ketika tiada wang untuk membeli makanan.

Katanya, ubi kayu merupakan makanan rutin mereka sekeluarga dan hanya membeli beras jika ada wang.

‘‘Jika ada bantuan persekolahan dan bantuan hari raya yang dianjurkan oleh pihak tertentu, kami sering dipinggirkan,’’ katanya.