Kali ini, giliran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pula menyatakan sokongan kepada Maszlee.

Mujahid yang juga merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) memberitahu, kenyataan Maszlee berhubung isu kuota pelajar matrikulasi baru-baru ini hanyalah untuk mempertahankan keputusan yang telah diputuskan Kabinet.

“Keputusan untuk mengekalkan kuota tersebut juga bersesuaian dengan visi asal program matrikulasi diadakan iaitu bagi menggalakkan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

“Sehubungan dengan itu, saya berharap agar semua pihak berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu kuota pelajar di kolej matrikulasi ini agar menghormati keputusan yang telah ditetapkan Kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA yang mengecam Maszlee, menuntut permohonan maaf dan peletakan jawatan daripadanya kerana mendakwa telah mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman apabila mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin.

Maszlee dikatakan mengeluarkan kenyataan itu di hadapan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini dan menyatakan kedua-dua perkara itu iaitu kuota matrikulasi dan syarat fasih mandarin untuk mendapatkan pekerjaan tidak boleh dilihat secara terpisah.

Tambah Mujahid, sokongannya terhadap Maszlee adalah selaras dengan keputusan Kabinet yang memutuskan agar kuota pengambilan pelajar ke program kolej matrikulasi dikekalkan iaitu pada kadar 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus kepada bukan bumiputera.

“Untuk makluman, Kabinet juga bersetuju dengan mengekalkan kuota ini, keutamaan akan diberi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah B40 dan ia turut melibatkan pelajar bukan bumiputera,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE