Pengarang Kanan Unit Majalah Umum UKSB, Zulkarnain Zakaria berkata, kuiz tersebut akan disiarkan di laman sosial Facebook WOWmalaysia bermula 14 Jun seiring dengan perlawanan pertama pertandingan dan berakhir pada 10 Julai ini pada jam 12 tengah malam sebelum berlangsung saingan peringkat separuh akhir.

“Seramai 10 pemenang akan dipilih daripada keseluruhan peserta yang berjaya meneka dengan tepat pasukan yang bakal menjadi juara dan naib juara pertandingan di mana peserta boleh menghantar sehingga 10 tekaan. 

“Syarat paling penting dalam kuiz ini memerlukan peserta menekan butang ‘Like’ dan ‘Share’ Facebook WOWmalaysia, kemudian ‘Invite’ rakan-rakan untuk melayarinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Tambah Zulkarnain, kuiz berkenaan akan turut disiarkan di Utusan Online dan media-media sosial terbitan UKSB. 

“Hadiah-hadiah menarik menanti peserta antaranya pakej percutian ke Ho Chi Minh, Vietnam, Lombok, Indonesia dan Sarawak di samping penginapan di resort terkenal, baucar tunai bernilai RM150 bersama produk-produk kesihatan serta barangan sukan. 

“Kuiz ini turut disertai rakan strategik seperti Emraz Travel&Tours Sdn.Bhd, Juara Travel&Tours Sdn Bhd, Bayou Lagoon Resort Melaka, Klana Beach Resort Port Dickson dan SS Pharma manakala penyumbang lain adalah McDonald serta Fleur Perfume,” katanya. 

Orang ramai boleh melayari laman http://wowmalaysia.com.my/ untuk menyertai kuiz tersebut. – UTUSAN ONLINE