Menurut Perdana Menteri, langkah itu sejajar dengan strategi kerajaan ke arah mencapai matlamat negara maju pada 2020 yang memerlukan ramai tenaga profesional.

Katanya, diaspora Malaysia di sini sama ada yang bekerja, berniaga atau sedang menuntut di universiti tempatan mempunyai peranan besar sebelum pulang ke tanah air dan menyumbang bakat mereka.

“Kita akan sediakan peluang pekerjaan untuk mereka di tanah air. Menerusi projek mega seperti Mass Rapid Transit (MRT) ketika ini, sebanyak 2,800 jurutera muda terlibat dalam projek itu.

“Projek kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura yang sedang dirancang juga memerlukan beribu lagi profesional muda,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama kira-kira 260 rakyat Malaysia di sini malam ini.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke negara ini berkata, menerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (Ta­lentCorp), kerajaan berusaha membawa pulang profesional Malaysia di luar negara bagi berkhidmat untuk negara pula.

Katanya, kerajaan akan terus menghantar pelajar ke luar negara bagi menimba ilmu dan meningkatkan bakat mereka demi pembangunan masa depan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia di sini membuktikan persepsi positif masyarakat tempatan terhadap mereka dengan memberi dedikasi terhadap usaha mempelajari ilmu baru dan teknologi di negara ini untuk dibawa pulang ke tanah air.

Selain isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang turut serta dalam majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Jepun merupakan rakan strategik negara kerana hubungan yang akrab sejak sekian lama selain merupakan rakan dagang terbesar selepas China dan Singapura.

Sehubungan itu, katanya, peluang berada di negara ini perlu digunakan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia untuk meningkatkan bakat dan kemampuan intelek mereka.

“Kejayaan anda di sini akan membantu kejayaan Malaysia juga,” katanya.

Perdana Menteri yang tiba pagi ini turut mengambil kesempatan untuk bertukar pandangan dan bermesra dengan rakyat Malaysia yang datang ke majlis tersebut. 
– UTUSAN