Kata beliau, sebagai rantau yang tidak menerima kesan daripada keadaan tidak stabil yang berlaku di lain-lain negara, ASEAN ketika ini dilihat sebagai rantau yang tumbuh pesat.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Amerika Syarikat (AS) mencadangkan sebuah pasukan pemantau ASEAN di Laut China Selatan sambil menyatakan bahawa terdapat kawasan-kawasan lain yang boleh dipantau.

Katanya, Selat Melaka sebagai laluan perdagangan paling sibuk juga perlu dipantau kerana terdedah dengan pelbagai ancaman seperti aktiviti pelanunan.

“Kenapa di Laut China Selatan sahaja? Terdapat juga Laut Sulu, kita tahu ada kumpulan Abu Sayyaf yang berikrar menyokong militan Negara Islam (IS).

“Ini mungkin pendekatan lebih baik kepada ASEAN berbanding retorik seumpama itu,” katanya ketika menjadi ahli panel Forum Perniagaan ASEAN bertemakan ‘Laluan Sutera Maritim Baharu (MSR): Adakah Akan Memanfaatkan ASEAN?’ di sini hari ini.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkenaan telah diadakan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, MSR yang dicadangkan oleh Presiden China, Xi Jinping itu dilihat dapat memperkasakan perhubungan dan sebagai komponen yang baik kepada kerjasama bila­teral serta multilateral antara pelbagai negara.

Katanya, pendekatan seperti itu merupakan antara contoh penglibatan republik itu bersama negara-negara Asia Tenggara.

“Namun begitu, terdapat juga ketika apabila perhubungan menerima tekanan. Pada masa sama, perlu ditegaskan bahawa sektor maritim adalah sesuatu yang sensitif kepada banyak negara,” ujarnya.

Beliau mencadangkan kepada China agar secara konsisten melibatkan diri bersama pihak-pihak berkepentingan di rantau ini serta global dan tidak terhad pada asas kerajaan kepada kerajaan tetapi turut melibatkan sektor awam serta swasta.

“MSR perlu menepati tidak hanya matlamat pembangunan antara China dan Asia Tenggara tetapi mengambil kira kemapanan alam sekitar di samping impak sosioekonomi yang berpotensi berlaku kepada masyarakat setemat,” katanya.