Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latiff Awang berkata, walaupun bukan di bawah sidang kuasa kerajaan negeri, soal itu telah dibawa berbincang dengan kementerian berkenaan yang sedia maklum mengenainya.

"Saya sendiri telah membawa perkara ini dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan cadangan supaya semua premis kosong milik kementerian termasuk kuarters guru yang tidak didiami ditukar kegunaannya.

"Mungkin kita boleh jadikannya sebagai bilik kuliah, asrama atau makmal komputer. Sebagai contoh kuarters guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai yang tidak didiami kita telah tukar menjadi asrama Sekolah Imtiaz.

"Kuarters guru yang tidak didiami di Sekolah Menengah Bukit Sawa pula dalam peringkat cadangan akan ditukar menjadi kelas kuliah pelajar tingkatan enam berkonsep universiti," ujarnya.

A. Latiff  berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Peringkat Daerah Marang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang, di sini hari ini.

Seminar yang disertai guru-guru kaunselor, Jawatankuasa Kebersihan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan komuniti setempat turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Teknikal ILP Marang, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohd Adnan Salleh.

A. Latiff menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai dua blok kuarters guru empat tingkat di Bukit Payung terbiar sejak sekian lama dan berdedah kepada kerosakan.

A. Latiff berpendapat keperluan terhadap kuarters tidak begitu mendesak di negeri ini kerana kebanyakan guru memilih untuk tinggal di rumah sendiri atau menyewa dalam persekitaran yang diingini.

Sementara itu Pengarah Pendidikan, Shafruddin Ali Hussin ketika dihubungi memberitahu, setelah tiada lagi permohonan untuk menghuni menyebabkan keadaan kuarters tersebut agak terbiar dan jabatan sedang menunggu peruntukan untuk membaiki kerosakan sebelum dimanfaatkan untuk tujuan lain kelak. - UTUSAN ONLINE