Bukan itu sahaja, KR1M 2.0 juga akan menambah bekalan produk berjenama yang berkualiti tinggi kepada 100 jenis produk unit simpanan stok (SKU) menje­lang April 2018 berbanding 50 SKU ketika ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, inisiatif ber­kenaan merupakan fasa ketiga dalam pelaksanaan KR1M 2.0 selepas menembusi pasar raya besar menerusi kerjasama dengan Tunas Manja Group (TMG) dan KK Super Mart bagi konsep kedai serbaneka.

“Perkara berkenaan juga me­rupakan sebahagian inisiatif ke­ra­jaan untuk membantu pengusaha kedai runcit persendirian mening­katkan kadar jualan di samping menawarkan barangan berjenama dan berkualiti tinggi,” katanya kepada pemberita dalam sesi taklimat KR1M 2.0 di sini hari ini.

Namun beliau berkata, pihaknya dan TMG sebagai rakan strategik utama tidak akan terburu-buru me­laksanakan fasa ketiga berkenaan memandangkan pelbagai perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu.

“Kita sedang mencari format terbaik termasuk melibatkan kos logistik dan adakah pusat pengedaran mencukupi bagi memastikan kedai-kedai runcit persendirian itu dapat menawarkan produk KR1M pada harga yang kompetitif.

“Pihak TMG juga telah mene­rima kira-kira 20 hingga 30 panggilan setiap hari daripada pengusaha kedai runcit yang berminat menyertai KR1M 2.0 selepas mula dilancarkan 4 Februari lalu, namun pada masa ini, kami masih dalam proses perbincangan bagi melaksanakan fasa ketiga ini,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong; Timbalan Ketua Setiausaha (Per­dagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Basaruddin Sadali; Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee dan Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

KR1M 2.0 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Februari lalu sebagai pembangunan semula inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun 2011.

Inisiatif tersebut yang diperke­nalkan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah model perniagaan baharu yang lebih terbuka, berdaya saing dan memberi peluang kepada lebih ramai pemilik perniagaan untuk menyertainya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, TMG telah mencatatkan peningkatan kadar jualan seba­nyak tujuh peratus hanya selepas kira-kira sembilan hari KR1M 2.0 dilancarkan.

“Perkara ini jelas membuktikan model perniagaan baharu KR1M 2.0 ini adalah terbaik dan berbeza dengan model perniagaan sebelum ini yang berasaskan kepada kedai fizikal dan barangan jenama 1Malaysia sahaja,” ujar beliau.