Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai contoh, Malaysia merupakan negara terawal di dunia yang memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui Program Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

"Kita ambil inisiatif ini sebagai satu jalan untuk memastikan rakyat Malaysia berpeluang untuk mendapatkan pendidikan pada tahap yang tertinggi," kata Idris sewaktu melakukan lawatan ke Ibupejabat Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Ketibaan Idris disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Mengiringi Idris dalam lawatan hari ini termasuk Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Idris dan delegasi meluangkan masa hampir dua jam bertukar pendapat dengan barisan kepimpinan Kumpulan Utusan, dan turut dibawa melawat ke ruang editorial akhbar untuk beramah mesra dengan kakitangan Utusan Malaysia. - UTUSAN ONLINE