alimuddin mohd. dom

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, KPI seharusnya dibuat secara umum bagi memudahkan warga sekolah termasuk guru-guru dan kakitangan soko­ngan memahami hala tuju utama yang mahu dicapai.

Jelasnya, pada masa sama, KPI sangat penting sebagai medium perancangan masa hadapan dan menilai prestasi sekolah, guru dan pelajar agar terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Melalui KPI, kita boleh tahu berapa pelajar dapat A dan berapa yang gagal, dengan ini, guru boleh membuat perancangan untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar. Be­gitu juga dalam pres­tasi, jika dahulu 60 pe­ratus sahaja lulus pada tahun hadapan, kita kena naikkan sasaran kepada 70 peratus.

“Guru hanya akan terbeban jika KPI di­buat secara berlebihan, perkara yang kecil-ke­cil pun mahu diletakkan KPI. Beban keterlaluan seperti perlu mengisi borang khusus dan sebagainya menjadi punca prestasi guru terjejas,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, isu guru terbeban dengan pelbagai tugas tambahan bermula sejak sistem KPI bagi memenuhi ke­perluan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 diperkenalkan sehingga mengakibatkan kelompok tersebut hilang fokus untuk mendidik dan mengajar.

Katanya, guru diminta menyediakan la­poran pentaksiran dan penilaian bagi membangunkan modal insan yang seimbang se­perti mana dihasratkan dalam Falsafah Pendi­dikan Kebangsaan.

Bagi mengatasi ma­salah berkenaan, Alimuddin mencadangkan supaya pihak pengurusan sekolah duduk berbincang semula dengan guru-guru bagi mengetahui KPI mana membebankan dan yang mana boleh dilaksanakan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan sekolah yang mempunyai peruntukan lebih melantik beberapa kakitangan tambahan untuk dijadikan sebagai pembantu guru, khusus bagi membantu kerja-kerja berkaitan perkeranian dan kokurikulum.

“Bagi sekolah yang besar mungkin persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) boleh bantu bayar gaji kakitangan sokongan ini.

“Satu lagi perkara yang tidak kurang pentingnya, sekolah sekarang terlalu mengejar ranking yang baik sehingga tekanan tinggi digalas guru. Bagi saya sekolah tidak perlu dibebankan dengan isu ranking,” katanya.