Timbalan Pengarahnya, Abd Hafidz Abd Rahim berkata, pemeriksaan itu bertujuan memastikan peniaga tidak menyalahi peraturan dan akta yang telah ditetapkan kementerian.

“Kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 9,377 premis di kawasan bandar dan 2,982 premis lagi di luar bandar dengan jumlah rampasan keseluruhan sebanyak RM 280,751.45.

“Melalui pemeriksaan itu, kita telah mengenal pasti sebanyak 127 kes peniaga yang melanggar peraturan dan akta yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK di Pejabat KPDNKK Sarawak di sini hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, antara kesalahan dilakukan peniaga ialah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Sewa Beli 1967, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 serta Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Bagi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, katanya, sebanyak 37 kes dikenal pasti dengan nilai rampasan berjumlah RM4387.25, manakala jumlah kompaun adalah RM4,950.

Tambahnya, bagi kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 pula, 48 kes direkodkan dengan nilai rampasan RM8,960 dan kompaun sebanyak RM5,800.

Terdahulu, Abdul Hafidz yang akan dipindahkan ke Putrajaya tugas sebagai Penolong Pengarah Kanan menyerahkan jawatannya di Sarawak kepada penggantinya, Mohd Nawawi Abdul Rahman dalam majlis ringkas.