SEPANG 19 Mei - Sebanyak 10 barangan disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 selama 10 hari bermula 22 hingga 31 Mei ini di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, skim tersebut pertama kali diadakan berikutan terdapat pelbagai rungutan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga barangan tertentu menjelang bulan Ramadan.
Katanya, barang-barang tersebut adalah, kacang tanah; kacang hijau; telur ayam gred A, B dan C; kelapa biji; kelapa parut; gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.
"Peniaga hendaklah mematuhi arahan yang ditetapkan dan beretika dalam menguruskan perniagaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE