ISKANDAR HALIM
ISKANDAR HALIM 

Saranan itu dibuat Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman selepas pihaknya hanya menerima laporan dan aduan daripada syarikat cap dagangan walhal barangan elektronik tiruan itu dijual secara berleluasa kepada pengguna.

“Selepas menerima aduan, siasatan lanjut akan dilakukan sebelum tindakan tegas termasuk kompaun dan pendakwaan dikenakan ke atas peniaga yang didapati melakukan kesalahan, manakala barangan tiruan akan dirampas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan Mingguan Malaysia berhubung penjualan gajet tiruan secara berleluasa di sekitar ibu negara selepas peranti itu diseludup masuk melalui beberapa pintu sempadan negara me­libatkan transaksi lebih RM200,000.

Mengulas lanjut, Iskandar Halim turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati dan membeli barang elektronik di premis yang sah bagi mengelak ditipu serta mengalami kerugian.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyarankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berkala di premis-premis penjualan elektronik dan meminta justifikasi belian barangan yang diimport.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman menggesa kerajaan mengkaji semula Akta Perihal Dagangan 2011 supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan kepada pesalah.

‘‘Hukuman ringan berbanding keuntungan tinggi adalah antara punca peniaga berani menjual gajet tiruan secara terbuka,’’ katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr. Jacob George pula berpandangan, sindiket penyeludupan gajet membuktikan sempadan utara negara ini begitu terdedah kepada kegiatan kartel dan aktiviti jenayah antarabangsa.