Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau melihat penubuhan sekretariat itu sebagai satu peluang untuk kementerian mendapatkan maklumat mengenai harga barang daripada pelbagai pihak.

“Saya janji bahagian penguatkuasa kementerian akan bertindak ke atas setiap perkara yang disampaikan oleh sekretariat ini.

“Saya lihat penubuhan sekretariat ini daripada sudut positif kerana ia memberikan lebih maklumat kepada kementerian dan saya amat menghargai usaha ini,” katanya selepas melawat tapak projek Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) dan Indah Water Konsortium (IWK), di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan penubuhan Sekretariat Pemantauan Harga Barang yang akan memulakan operasi pada bulan hadapan.

Asyraf Wajdi berkata, pihaknya akan mengerahkan kesemua ketua-ketua pemuda bahagian setiap negeri untuk melakukan pemantauan berkenaan.

Menurut Saifuddin beliau mengalu-alukan dan menyambut baik usaha tersebut yang merupakan langkah terpuji dilakukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO. - UTUSAN ONLINE