Perdana Menteri berkata, beberapa kedudukan dalam kerajaan termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pelantikan dapat dibuat.

“Ada jawatan yang perlu mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad telah meletak jawatannya dan melaporkan diri ke Jabatan Peguam Negara semalam.

Berhubung kedudukan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr. Mahathir berkata, kerajaan sedang mengambil langkah untuk menjalankan siasatan terhadap isu 1Malaysia Development Bhd.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa pegawai kanan kerajaan yang disyaki terlibat dalam mana-mana penyelewengan akan diberikan cuti atau digantung tugas bagi membolehkan siasatan dijalankan.- UTUSAN ONLINE