Kowima, Ikwam hasrat laksana gagasan Permodalan Wanita Malaysia
Siti Zaharah Sulaiman

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, cadangan mewujudkan permodalan itu lebih bersifat inklusif berbanding janji Pakatan Harapan diketuai DAP mahu memperkenalkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Gagasan Permodalan Wanita Malaysia ini bersifat penabungan masa depan wanita seandainya berlaku insiden ibu tunggal, dimadukan, usia tua, pembiayaan perubatan, pendidikan anak dan lain-laim.

“Ia mungkin bersifat atau dalam bentuk amanah saham atau takaful usia tua yang mana segenap lapisan wanita dapat menyertainya sekali gus menjamin masa depan dengan pulangan yang baik ke atas caruman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Zaharah berkata, jika boleh, kerajaan turut serta dalam membuat pencaruman secara ‘launching atau matching’ grant atau peruntukan strategik.

“Dalam erti kata lain atau lakaran kasar, kita dapat menyingkap bahawa idea permodalan ini merupakan suatu percambahan idea akan fungsi Amanah Saham Nasional, insuran ataupun takaful, zakat, KWSP, Socso, Amanah Raya, perbankan dan Unit Trust di dalam kerangka Permodalan Wanita Malaysia.

“Permodalan boleh membawa pengertian suatu aturcara ‘recapitalization’ akan modal mesra wanita,” jelasnya.

Beliau berkata, idea itu mungkin dapat dilaksanakan dengan aturcara ‘koperasi’ kerana pergerakan koperasi kini mempunyai jaringan ahli yang menyeluruh dan luas.

“Kini ahli koperasi telah menjangkau lapan juta dan setengah daripadanya adalah wanita. Mereka merupakan kumpulan yang aktif dalam dunia pekerjaan ataupun perniagaan dan mereka boleh membuat caruman,” katanya.

Menurutnya, Kowima dan Ikwam akan membentuk pasukan pemikir serta sekretariat yang dapat merangka akan pengubalan Permodalan Wanita Malaysia. - UTUSAN ONLINE