Kementerian terbabit dalam kenyataannya malah memberitahu harga makanan asrama adalah berdasarkan menu mengikut keperluan nutrisi murid dan tidak pernah mengurangkan kadar harga makanan tersebut.

Jelas Kementerian Pendidikan, pengiraan keseluruhan harga kontrak juga mengambil kira bilangan murid dan lokasi sekolah berasaskan kepada semakin ramai murid, semakin rendah harga kontrak dan semakin jauh sekolah daripada kawasan bandar semakin tinggi harga kontrak berkenaan.

“Harga makanan asrama adalah berdasarkan menu yang diputuskan mengikut keperluan nutrisi murid seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi bekalan makanan bermasak.

“Penetapan harga kontrak juga berdasarkan kepada kontrak yang dianugerahkan melalui tender terbuka dan dipersetujui antara kontraktor dengan kerajaan,” jelas kementerian itu.

Semalam, Najib menerusi status dalam akaun Twitter miliknya mendakwa kadar makanan sehari di SBP telah dikurangkan daripada RM18 kepada RM14.50 sehari.

Kementerian Pendidikan menambah, pelantikan kontraktor bagi tender baharu tahun 2019 adalah secara kaedah tender terbuka melalui sistem ePerolehan sepenuhnya dan pemilihan adalah berdasarkan kepada kriteria yang selaras dengan garis panduan serta pekeliling berkaitan perolehan.

“Kementerian memilih kontraktor melalui kaedah tender terbuka yang dapat dilaksanakan dengan telus dan penuh integriti.

“Kementerian juga memberi jaminan tidak akan berkompromi dalam hal ini kerana sudah menjadi prinsip agar setiap murid di SBP mendapat makanan yang berkualiti,” kata kenyataan itu lagi. - UTUSAN ONLINE