Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemberian itu tidak sepatutnya dihapuskan sebaliknya ditingkatkan keberkesanan impaknya dengan kaedah yang lebih sistematik.

“Apa yang penting konsep membantu orang miskin adalah konsep yang perlu diteruskan.

“Jangan hilang begitu sahaja, usahakan supaya betul-betul dapat mengatasi masalah kemiskinan,” katanya ketika ditanya pemberita selepas merasmikan program Melabuh Unjam di Perairan Kuala Marang 2018 di Marang Waterfront di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan.

Menurut Dr. Mahathir, langkah itu terpaksa dilakukan memandangkan rakyat terlalu dimanjakan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir menegaskan rakyat tidak patut merasakan mereka boleh mendapatkan wang tanpa bekerja.

Abdul Hadi turut menarik perhatian tindakan kerajaan Pusat untuk membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sesuatu yang mudah kerana perjanjian mengenainya telah dimeterai antara Malaysia dengan China di samping terdapat peraturan-peraturan antarabangsa yang perlu dihormati kedua-dua pihak.

Katanya, negara mungkin akan berdepan banyak masalah sama ada untuk membatalkan projek itu mahu pun meneruskannya.

“Kita melihat mana yang lebih baik dan terpulang kepada kerajaan untuk menilai. Kita kena sedar bahawa kita sokong projek untuk kemudahan pantai Timur dari segi ekonomi dan Malaysia ke arah jalan segera untuk dihidupkan segera.

“Tetapi di sana ada perjanjian yang tidak menyenangkan dan itu yang perlu dibetulkan Terserah kepada perundingan antara kerajaan pusat dengan kerajaan China,” katanya.- UTUSAN ONLINE